Kepentingan Amalan Berbudi Bahasa Dalam Masyarakat

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu’ bahasa.

Pantun di atas menjelaskan bahawa budi bahasa penting dalam kehidupan manusia. Bincangkan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat.

Pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan bahawa masyarakat di negara kita tidak mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat. Amalan negatif ini dapat dilihat daripada sikap golongan muda yang semakin tidak menghormati orang tua. Hal ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan ibu bapa sekarang tidak mempedulikan anak-anak sama ada mereka itu berbudi bahasa atau tidak kerana mereka sibuk mengejar kekayaan. Perdana Menteri pernah mengatakan bahawa beliau begitu kecewa dengan amalan budi bahasa yang kurang dipraktikkan dalam masyarakat sekarang. Sejak beberapa tahun lalu, Kementerian Kesenian, Warisan, dan Kebudayaan telah melancarkan kempen Budi Bahasa Budaya Kita supaya dapat mengembalikan suasana budi bahasa dalam masyarakat. Tambahan pula, kempen ini telah diuar-uarkan melalui pelbagai media sama ada media elektronik atau media cetak. Hal ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan penting untuk melancarkan kempen ini. Persoalannya apakah kepentingan pengamalan budi bahasa dalam masyarakat?

Antara kepentingan amalan budi bahasa dalam masyarakat termasuklah amalan itu mempengaruhi pembentukan perpaduan kaum dalam sesuatu masyarakat. Budi bahasa ini dapat mewujudkan hubungan yang baik antara anggota masyarakat. Hal ini dapat ditunjukkan jika semua ahli atau lapisan masyarakat mengamalkan budi bahasa ketika berkomunikasi, nescaya tidak akan ada sesiapa yang akan tergores perasaannya. Tambahan lagi, amalan budi bahasa ini dapat mewujudkan satu situasi yang mendorong masyarakat saling memahami dan menghormati antara satu dengan yang lain. Oleh yang demikian, amalan ini secara tidak langsung akan menjadikan ikatan persaudaraan atau silaturahim antara masyarakat menjadi semakin akrab. Tuntasnya, amalan ini dapat mewujudkan suasana yang aman dalam masyarakat hasil daripada pembentukan perpaduan kaum ini.

Selain itu, kepentingan amalan budi bahasa dalam masyarakat juga akan menyebabkan segala urusan yang dilakukan akan menjadi lebih mudah. Apabila semua lapisan masyarakat menunjukkan sikap kerjasama yang tinggi, segala perkara atau pekerjaan yang ingin dilakukan akan berjalan dengan lancar. Sebagai contohnya, apabila seseorang itu menghadapi sebarang masalah dan perlu berurusan dengan kakitangan kerajaan, individu tersebut akan berasa selesa jika dilayan dengan penuh hormat dan sopan. Kerjasama ini dapat dikaitkan dengan peribahasa Melayu, iaitu “muafakat membawa berkat” dan “yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Tambahan pula, apabila kerjasama dapat dipupuk maka hasil kerjasama tersebut pasti memberangsangkan. Jadi, masalah yang membelenggu individu tersebut selama ini pasti akan menjadi lebih ringan dan lebih mudah untuk diselesaikan melalui amalan budi bahasa ini. Tuntasnya, amalan budi bahasa ini dapat memudahkan segala perkara yang dilakukan dalam masyarakat.

Amalan budi bahasa ini merupakan cerminan diri seseorang juga. Amalan budi bahasa dapat menunjukkan keperibadian individu yang sebenar. Jika seseorang mengamalkan budi bahasa dalam masyarakat, maka dia akan dianggap seorang yang berbudi pekerti dan jika seseorang itu bersifat sebaliknya, maka dia akan dilihat seperti seseorang yang bersikap kurang ajar. Misalnya, seorang tetamu bertanya kepada pegawai di kaunter pertanyaan dan pertanyaan itu disambut baik oleh pegawai itu. Agaknya apakah yang difikirkan oleh tetamu itu terhadap pegawai tersebut? Semestinya dia membuat andaian bahawa pegawai tersebut merupakan seorang yang berhemah dan berbudi bahasa. Bahkan pula, jika seseorang itu mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan seharian, dia pasti akan disanjung dan bukan dirinya sahaja malahan ibu bapa dan keluarganya juga akan dipandang mulia. Hal ini menunjukkan bahawa ibu bapa tersebut berjaya mendidik anak-anak sehingga menjadi seorang yang berbudi bahasa seperti kata orang tua-tua, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Amalan budi bahasa mampu mengeratkan hubungan diplomatik antara dua buah negara. Setiap negara mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ada antaranya mempunyai kekayaan hasil bumi atau teknologi yang lebih maju. Jika pemimpin dan tokoh korporat dapat mengamalkan budi bahasa semasa menghadiri mesyuarat antarabangsa, nescaya pasti banyak negara yang lebih maju akan tertarik untuk bekerjasama dengan negara kita. Ketika berlaku siri tunjuk untuk terus mengamalkan budi bahasa dengan melayan pekerja Indonesia di negara ini dengan baik. Natijahnya, kedua-dua buah negara ini akhirnya menjalinkan hubungan yang baik sehinggalah hari ini. Selain itu, dengan wujudnya hubungan diplomatik ini, negara kita akan menjadi lebih seimbang dan kukuh kerana mempunyai negara yang berdaya saing. Hal ini dapat dibuktikan apabila hubungan diplomatik dua negara menjadi lebih baik.

Kepentingan amalan budi bahasa yang lain ialah amalan tersebut mampu menarik perhatian atau kehadiran pelancong luar ke negara ini. Pelancong akan berasa selesa jika kita memberi bantuan secara berbudi bahasa. Jika kita melayan pelancong tersebut dengan baik, pelancong tersebut akan memanjangkan perihal peristiwa tersebut kepada rakan-rakan dan keluarga apabila sudah kembali ke negara mereka. Hal ini dapat menimbulkan keinginan mereka untuk melancong ke negara ini lagi pada masa depan. Secara langsung, kedatangan pelancong ini juga dapat meningkatkan sumber ekonomi negara, malah nama dan imej negara akan meningkat di mata dunia. Oleh yang demikian, kita haruslah mengamalkan prinsip orang berbudi, kita berbahasa. Natijahnya, negara kita berpotensi untuk menjadi pusat atau destinasi pelancongan terbaik di rantau ini dan hal ini sudah tentu memberikan impak kepada ekonomi negara.

Sebagai kesimpulannya, kempen budi bahasa merupakan salah satu cara terbaik untuk meningkatkan amalan budi bahasa dalam masyarakat selaras dengan pandangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib yang mengatakan bahawa amalan budi bahasa pada zaman sekarang semakin berkurang. Oleh yang demikian, untuk menyempurnakan hasrat Perdana Menteri yang mahu mewujudkan masyarakat yang berbudi bahasa, kita haruslah bekerjasama dan mempraktikkan amalan ini dalam kehidupan seharian. Budi bahasa perlu dibudayakan sejak anak-anak masih kecil. Akhir sekali, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mengamalkan budi bahasa agar impaknya menguntungkan masyarakat dan negara.

.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s